Biografi Penulis

Perjalanan hidupnya sebagai seorang remaja muslimah banyak mengajarnya erti kehidupan yang sebenar. Sebagai manusia biasa, N Athirah mempunyai perasaan ingin menyayangi dan disayangi oleh insan lain. Dirinya lebih cenderung dalam bidang penulisan puisi dan cerpen. Seorang pelajar dan penulis yang meminati bidang penyiasatan... N Athirah bercita-cita untuk menjadi seorang wartawan siasatan jenayah. Athirah cuba menempuh dugaan dunia dengan kesabaran walaupun adakalanya kesabarannya akan hilang.

Nurfatihah Athirah atau lebih dikenali sebagai N Athirah dilahirkan di Wilayah Persekutuan Labuan pada 9 Disember 1993. Merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik.

N Athirah menerima pendidikan awalnya sehingga Darjah Enam di Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam, W.P Labuan dan Sekolah Rendah Agama Islam Nurul Falah Bukit Kalam, W.P Labuan.


Pengalaman di sekolah

Ketika masih bersekolah di sekolah rendah, N Athirah pernah mengikuti pertandingan mendeklamasikan sajak, bercerita dan hafazan di Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam.


N Athirah juga menceburi bidang nyanyian nasyid di sekolah agama sejak darjah tiga lagi. N Athirah merupakan ahli kumpulan Nasyid Al-Hidayah Nurul Falah, SRAI Nurul Falah Bukit Kalam. Kumpulan Nasyid Al-Hidayah Nurul Falah kerap mendapat gelaran johan dalam pertandingan nasyid yang pernah dianjurkan dan pernah mewakili Labuan ke Kuala Lumpur dalam pertandingan nasyid peringkat kebangsaan sekolah rendah agama. Kumpulan ini juga pernah dijemput membuat persembahan sempena Maal Hijrah, persembahan sempena pertandingan nasyid belia beliawanis Labuan dan persembahan untuk aktiviti syarikat swasta.


Setelah tamat belajar di sekolah rendah, N Athirah melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, W.P Labuan sehingga sekarang. Kini belajar di tingkatan Empat Hibiscus aliran Sains Sosial Pengajian Islam Bahasa Arab Tinggi dan merupakan salah seorang pengawas sekolah. N Athirah aktif dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia di sekolahnya. N Athirah kini mencuba pula untuk berjinak-jinak dalam dunia kewartawanan di peringkat sekolahnya.


Minat

Di luar waktu persekolahan, N Athirah sebenarnya meminati bidang penulisan puisi dan cerpen. Mula menulis ketika berumur 11 tahun. N Athirah dan ibunya merupakan ahli Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Pernah mengikuti kursus penulisan anjuran bersama PERWILA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.


Puisi pertama N Athirah telah tersiar di dalam buku Antologi Puisi Pengucapan Puisi Hari Wilayah — Bandar Raya 2005 KOTA BUDAYA CITRA SEJAGAT terbitan DBP Cawangan Sabah (2005). Lima lagi puisinya tersiar di Antologi Puisi dan Cerpen LAMBAIAN TELUK terbitan DBP Cawangan Sabah (2008). N Athirah kini semakin giat menulis dan karyanya dihantar ke bahagian siaran radio Labuan FM dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Selain bidang penulisan, N Athirah juga meminati bidang penyiasatan dan gemar membaca cerita-cerita genre misteri. Namun begitu, N Athirah tidak pula mempunyai cita-cita sebagai pegawai polis mahupun peguam.


N Athirah juga kini sudah mula menceburkan diri dalam bidang dakwah Islamiah agar dapat lebih mendekatkan dirinya pada agama Islam dalam segala perkara yang dilakukannya.

Koleksi Ceria 2008 - azz1043

By N Athirah - MagMyPic

Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com